Isnin, 23 Februari 2009

Tafsir Mimpi


Anda pernah bermimpi? Mustahil tak pernah bermimpikan? Paling-paling tidak, mimpi seram yang mengusik tidur kala fikiran tidak tenteram.

Aku jarang bermimpi, namun bila bermimpi ada dua perkara yang tersirat. Menandakan ada sesuatu yang akan berlaku, ataupun hanya sekadar hiasi keindahan minda ketika tidur yang tidak punya apa-apa maksud.
Mimpi sebagai petanda tentang sesuatu amat kerap berlaku dan biasanya berlaku beberapa ketika sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Awalnya, aku tidak begitu peduli sangat tentang mimpi kerana bagiku memang sukar untuk menterjemahkan mimpi itu apalagi untuk dikaitkan dengan kehidupan. Namun, apabila mimpi sebegitu berlaku begitu kerap terjadi dan sangat berkaitan dengan apa yang bakal terjadi itu, akhirnya naluriku sudah dapat bezakan antara mimpi yang bersifat petanda atau mimpi yang hanya hadir semata-mata untuk menyenangkan mindaku kala tidur. Namun adakalanya, aku juga keliru antara keduanya apabila aku sendiri tidak mampu untuk tafsirkan mimpi tersebut.

Aku pernah mimpi ayah sedang ketawa gembira. Ketawa dan kegembiraan sebegitu tidak pernah pun aku melihatnya dalam hidupku selama ini. Ayah sebenarnya seorang yang serius, apalagi di hadapan anak-anaknya. Jadi, apabila aku mimpikan ayah gembira sebegitu, jauh di sudut hati memang rasa pelik sedikit. Mimpi itu aku biarkan begitu sahaja tanpa peduli kerana selama ini mimpi hanya sesuatu yang indah semasa tidur. Mimpi itu jadi nyata kemudiannya. Hanya, kenyataan itu sangat berbeza. Kenyataannya ayah sangat marah padaku. Aku terima akibatnya beberapa hari kemudian. Dan akibat itu, mengubah seluruh perjalanan hidupku. Kebetulankah? Kebetulan jugakah andai perkara serupa berlaku berulang-ulangkali? Mimpi yang datang sebagai amaran awal, bak siren sebelum berlaku tsunami...aku sendiripun tidak tahu jawapannya.

Aku juga pernah bermimpi didatangi arwah datuk. Arwah tidak berkata apa-apa, hanya memandangku sahaja, kemudian melangkah pergi. Mimpi itu datang berulangkali hingga buatkan aku terfikirkan sebabnya. Bila bertanyakan beberapa orang, termasuk orang yang ahli dalam hal agama, aku dinasihati agar banyakkan bersedekah. Niatkan pahala sedekah itu kepada arwah. Ataupun lakukan amal kebajikan yang diniatkan pahalanya kepada arwah.

Ketika aku suarakan niatku kepada Mek untuk buatkan kenduri arwah, orang tua itu terdiam. Aku sendiri tak tahu apa yang difikirkannya. Namun, Mek tetap buatkan juga kenduri arwah itu setelah aku masukkan sejumlah wang dalam akaunnya untuk tujuan itu. Selepas itu, aku jadikan kebiasaan dengan meniatkan pahala apa sahaja hal kebaikan yang kubuat untuk arwah. Hingga kini, aku tidak lagi mimpikan arwah lagi.

Mimpi bersifat petanda ini datangnya pada waktu awal pagi. Orang kata sepertiga malam. Bila tersedar daripada mimpi sebegini, jam kala itu antara 3 pagi hingga 4 pagi. Tidak lebih daripada itu. Pada masa terjaga, mata tidak lagi akan mengantuk. Segar bugar. Walaupun diusahakan untuk lelap semula, selepas subuh baru boleh lelap.

Agak kerap juga aku mimpikan perkara-perkara yang menjuruskan aku kepada satu kebenaran dalam hidup ini. Biasanya perkara-perkara berkenaan adalah hal yang tidak ada orang terdekat atau disekeliling yang mampu beritahuku ataupun mereka sengaja merahsiakannya daripada pengetahuanku. Berdasarkan mimpi berkenaan, aku akhirnya dapat tahu juga rahsia itu. Bukannya tahu secara terus tetapi mimpi itu menjadi petunjuk. Berdasarkan mimpi itulah pemerhatianku akan lebih tajam terhadap tindak tanduk mereka yang biasanya ada niat serong itu. Akhirnya, aku dapat tahu juga tentang apa-apa komplot atau rancangan orang sekeliling untuk gulingkanku.

Masalahnya, aku tidak mudah percaya tentang hal-hal mistik sebegini. Walaupun dah ada petunjuk, dah ada klu, dan ada tanda-tanda serta beberapa bukti tentang apa yang bakal berlaku itu, namun hati kecilku sangat kerap menolak. Hati kecilku sangat tidak percaya. Hati kecilku sangat memberi masa untuk kukumpulkan dahulu lebih banyak bukti. Keraguan berkenaan menyebabkan tindak balas untuk bertindak berlaku sangat lambat. Akhirnya, aku hanya menyaksikan sahaja apa yang aku dah agak akan berlaku itu berlaku di hadapan mata. Nyatanya, semua petunjuk yang aku peroleh melalui mimpi itu sangat benar. Adusssss!

Bukan sekali dua berlaku sebegini. Berkali-kali. Bukan tidak percaya tentang deria keenam, namun kesangsian tetap sahaja menjadi penghalang. Sangsi kalau-kalau mimpi itu usikan syaitan. Sangsi kalau-kalau mimpi itu menjerumuskan aku membuat tanggapan salah kepada orang yang tidak berdosa. Kala terbukti ada kebenaran mimpi itu, hati tetap berdetik dengan rasa tidak percaya. Tidak percaya orang tersebut akan lakukan sebegitu pada kita. Tidak percaya yang individu itu akan tergamak mengenakan hingga tahap sebegitu. Akhirnya, hati bagai berbisik untuk membiarkan dia berterusan sebegitu hanya kerana mahu melihat sejauh mana dia sangggup lakukannya. Finally, diri akan terkapar parah bila kesanggupan orang itu memang di luar dugaan sama sekali.

Mimpi yang hanya mengindahkan mindaku ketika tidur biasanya berlaku setelah subuh ataupun selepas jam lima pagi hingga adakalanya hingga jam 10 pagi. Sekalipun jarang juga bermimpi sebegini, namun koleksi mimpi-mimpi indah ini memang indah untuk dikenang. Sangat indah. Kala terjaga, setelah tersenyum mengenangkan keindahan mimpi tersebut, mimpi itu tidak lagi kuingati. Tenggelam bersama kesibukan harian.

Yang mengganggu hanyalah mimpi-mimpi yang sukar untuk kutafsirkan benar tidaknya, ataupun apa maksudnya. Puas ditunggu, masih juga tak kunjung kebenaran. Hanya sebagai mimpi indah sahajakah ataupun punya tafsiran yang tertentu. Mimpi sebegini pula, datangnya berulang-ulangkali. Kalaupun tidak sama lokasinya, namun sama wataknya. Sama intinya. Benar-benar memeningkan.

Anda punya kemahiran mentafsir mimpi? Bantulah daku. Mimpi sebegini telah kerap kualami dengan watak-wataknya yang sama. Hanya lokasi dan suasananya sahaja yang berbeza. Beberapa hari lepas, aku bermimpi lagi. Mimpinya begini:

Aku berada di kawasan tasik yang dalam (seperti empangan buatan manusia) bersama seorang kekasih (yang aku sendiri tidak kenal siapa dia, tetapi dalam mimpi itu perasaanku padanya begitu mendalam) dan teman baiknya, allahyarham Hani Mohsin. Pelik bukan? Aku bukannya peminat arwah. Aku tak pernah jadi peminat fanatiknyapun dengan arwah selama ini. Hanya biasa-biasa sahaja.

Suasana sangat indah ketika itu. Airnya jernih, sejuk dan nyaman. Pemandangan yang cantik. Ada kapal layar lagi. Dan aku pula tidak tahu berenang. Namun keindahan suasana itu mampu kuhayati dengan bantuan arwah Hani Mohsin yang bawa aku jelajah suasana tasik itu (berenang) bersamanya tanpa rasa takutpun. Peliknya, aku lebih rapat dengan arwah berbanding dengan kekasih hatiku itu sendiri. Dan sang kekasih itu pula seakan tidak cemburu pula.

Mimpi sebegini agak banyak kali juga aku alami dengan watak-watak yang sama. Hanya lokasinya yang berbeza. Sekalipun berbeza, persekitarannya tetap berkaitan dengan air, sama ada sungai, laut atau tasik. Dalam setiap mimpi itu, aku sangat gembira dengan dua watak yang hadir dalam mimpi itu. Mereka juga. Dan ketenangan turut aku alami sehingga terbangun tidur keesokan harinya.

Mimpi itu aku ingati biarpun masa telah berlalu. Hingga berhari-haripun. Namun, aku sendiri tidak memahami maksudnya. Sang kekasihku dalam mimpi itu adalah orang yang aku tidak pernah kenal, tidak pernah jumpa pun. Arwah Hani Mohsin juga tidak pernah kusapa secara real, hanya melihatnya dalam majalah atau dalam drama lakonannya. Andainya mimpi itu hanya mainan tidur, patutnya aku dah lupakan mimpi itu bila terbangun keesokan harinya.

Persoalannya: Mengapa watak-wataknya sama? Mengapa perasaannya sama? Mengapa datangnya berulangkali? Mengapa mereka yang tidak kukenali itu yang datang, apa kaitannya dengan aku? Dan aku, seakan fobia dengan kegembiraan berada dalam mimpi kerana apa yang berlaku di alam mimpi adalah keterbalikan di alam nyata. Kala ayah ketawa gembira padaku, dia sebenarnya sedang marah. Kali ini, apa pula?

Mungkin aku perlu ubah pandanganku tentang mimpi ini. Mungkin aku perlu tanamkan dalam minda yang mimpi hanya mainan tidur. Ada sesiapa tahu mentafsirkan erti mimpi ini? Tafsirkanlah mimpi ini. Aku benar-benar ingin tahu.

4 ulasan:

caluk@cencaluk berkata...

panjang nyer mimpi he he

anyss berkata...

Sekali sekala mimpi...panjang pun tak apa, baru berbaloi

Tanpa Nama berkata...

Biasanya, kalau mimpi air tu bermakna kita akan beroleh rezeki, mungkin duit. Biasanya kak tie gitu laaa.... Malah pernah terbaca di blog seorang ustat, tak ingat pulak di mana, yang memberi tafsiran yang serupa.

anyss berkata...

Alamak! bestnya...penat dok tunggu dah ni...duit x sampai2 lagi ni...